SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan FA QF1 | Kuching City FC vs Selangor FC | Cabaran The Cats Menanti

Jun 29, 2024 - FAS

Selangor FC akan mengunjungi Stadium Negeri Sarawak bagi perlawanan Suku Akhir Piala FA 2024/25 pertama, menentang Kuching City FC malam ini pada jam 8:15 malam. 

Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, mereka pasukan yang bagus dan kita juga sudah bersedia, “Alhamdulillah persiapan dapat dibuat dengan baik setakat ini. Kita nampak pasukan Kuching City FC sebagai sebuah pasukan yang sangat bertenaga, mereka mempunyai penyerang seperti Jordan Mintah dan Kipré Tchétché yang semua tahu akan ancaman yang mereka bawa. Saya rasa jika kita tidak berhati-hati dan tidak bersedia, kelebihan mereka akan mengecewakan kita. Oleh itu, segala persiapan telah dibuat untuk berdepan dengan mereka,” tegas beliau.

Bagi keberadaan pemain, Reziq Banihani; penyerang import baharu Gergasi Merah, Umarbek Eshmurodov; pemain import pertahanan baharu, masih tidak dapat bersama pasukan menentang Kuching City FC pada malam ini atas faktor kecederaan yang dialami mereka.

Saingan Piala FA 2024/25 peringkat Suku Akhir ini bakal dijalankan secara timbal balik. Selangor FC dan Kuching City FC akan bertemu semula di Stadium MBPJ pada 6 Julai ini. 

Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan untuk pusingan pertama Suku Akhir Piala FA ini. Gerak terus Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!